Kita seringkali mendengar kata-kata ini, tidak kiralah ketika kita berada di ambang berputus asa atau mungkin ada insan lain yang terasa ingin berputus asa. Hari ini, seorang teman seakan-akan mahu berputus asa dek keputusan perperiksaan persekolahan yang lepas tidak seperti yang diingini malah merosot. Dia mengeluh dan mengatakan bahwa usahanya tidak mendatangkan hasil yang dia ingini. Katanya, sia-sia dia belajar hingga lewat malam, membuat nota untuk matapelajaran yang kritikal, bertanya sana-sini, dan macam-macam lagi tetapi prestasinya tidak juga meningkat, sedangkan teman-teman yang lain, yang boleh dikatakan langsung tidak kisah membuka buku untuk perperiksaan itu pula yang mendapat markah lebih tinggi daripadanya.
Saya, sebagai seorang teman yang boleh dikira pernah rapat dengannya dahulu sedikit sebanyak turut merasai kekecewaannya. Namun saya lebih terkilan kerana dia cepat berputus asa tika dilanda ujian ALLAH ini. Suatu ketika dahulu, kami pernah berjanji, kami akan bersama-sama belajar bersungguh-sungguh tidak kira apa yang insan lain mungkin katakan tentang kami, kami akan tetap berusaha hingga ke akhirnya, Dia juga pernah mengatakan, “GAGAL SEKALI TIDAK BERMAKNA AKAN GAGAL SELAMANYA.” Kata-katanya itu saya kira satu pencetus semangat dirinya. Tapi itu suatu ketika dahulu, bukan sekarang. Hari ini, saat saya mendengar dia meluahkan rasa kecewanya walaupun bukan pada diri saya, saya terasa kekecewaan yang berat dalam dirinya.
Sebenarnya, saya merasakan bahawa diri saya menjadi beban kepadanya. Mungkin kerana kehadiran saya, atau mungkin kerana saya wujud dalam hidupnya, dia menjadi terbeban dan hilang fokus dalam pelajaran. Andainya saya yang menjadi punca kemerosotan akademiknya, saya mohon maaf, mungkin ada baiknya saya berlalu pergi daripada terus-menerus menyusahkan dan mengganggu-gugat kehidupannya. Bagi saya, apa yang penting baginya sekarang dan saya kira yang terbaik baginya adalah untuk menumpukan perhatian kepada pelajaran dan masa depannya. Bukan untuk saya, bukan untuk cita-cita atau mahligai yang ingin dibina, bukan juga untuk orang lain. Seperti mana yang saya ingin dia ketahui, peribadi adalah peribadi, pelajaran kekal sebagai pelajaran. Tiada satu pun perkara yang boleh mencampur adukkan kedua-duanya.Namun sejauh manapun saya ingin dia ketahui kebenaran itu, saya masih tidak dapat luahkan. Sekali lagi dek bimbang dia akan terganggu dan hilang fokus.
Sebagai seorang teman seperjuangan, seorang sahabat, seorang muslimah dan saudara seagama, saya merasakan bertanggungjawab untuk mengembalikan semangatnya. Saya ingin dia kembali teguh sengar semangat berkobar untuk meneruskan sisa-sisa persekolahannya, belajar bersungguh-sungguh mencapai impiannya yang tinggi melangit, membanggakan ibu bapanya, mengharumkan nama keluarganya, dan agar dia tidak berputus asa. Saya tidak inginkan balasan jauh lagi untuk memaksanya membayar kembali apa-apa sahaja yang saya kongsikan.
Ketabahan seorang ibu yang mengandung, melahirkan, memberi kasih-sayang, membesarkan dan mendidik anaknya harus kita jadikan pedoman. Walaupun anda atau dia barangkali seorang lelaki, namun ini kisah ketabahan yang kita harus contohi. Tidak kira siapapun kita.
Seorang ibu, yang membawa benih kasih sayang seorang suami, lelaki halal yang sah dan berhak keatasnya, menanggung penat lelah mengandungkan anaknya selama kira-kira sembilan bulan sepuluh hari. Ketika berbadan dua, setiap pergerakan harus dikawal, permakanan harus diatur dengan baik, kebersihan perlu dikekalkan, kesihatan pula wajib dijaga agar anak dalam kandungannya membesar dengan sihat insya-ALLAH. Beratnya kandungan itu tika mencecah usia 5 bulan dan seterusnya sebenarnya meletihkan ibu yang membawa. Bayangkan jika ibu berputus asa untuk mengandungkan kita, agaknya apa tindakan ibu kita? Tepuk dada, tanya minda.
Saat-saat melahirkan anak pula, si ibu bertarung nyawa untuk melahirkan kita. Kesakitan yang mereka rasanya tidak akan kita ketahui melainkan kita sendiri yang melahirkan nanti (insya-ALLAH) hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa sakitnya. Kesilapan walau barang sedikitpun memungkinkan kematian. Cuba kita bayangkan, andainya si ibu berputus asa untuk melahirkan zuriatnya. Kita tidak akan berada di sini saat ini. Atau mungkin ibu pula yang meninggalkan kita selama-lamanya.
Tika zuriatnya telah dilahirkan, ibu dan ayah curahkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada kita. Mendidik, membelai, memberi keperluan kita, adakalanya mereka terpaksa mengorbankan kepentingan mereka sendiri hanya untuk kebaikan dan kebajikan kita, anak-anak mereka tanpa kita sedari. Andainya mereka berputus asa untuk melakukan semuanya, bagaimana kita bisa berada di sini hari ini, senang menggunakan kemudahan sepeti internet ini, membeli barangan yang kita ingini dan mampu menimba ilmu dan berjaya dalam kehidupan??
Ya, saya tahu saya masih belum merasai sendiri keadaannya, namun ini logika akal, dan saya juga bertanya sendiri dengan ibu, sepupu, cikgu dan mereka yang pernah merasainya. Seharusnya kita jadikan pedoman. Jadikan pengorbanan dan penat lelah mereka kayu pengukur agar kita tidak akan berputus asa dalam kehidupan. Seperti mana seorang ibu yang mengandung, melahirkan dan membesarkan anaknya, benih kasih-sayangnya. Setidak-tidaknya, tetapkan akal agar sentiasa berusaha walau berat manapun untuk berjaya dan mencapai kecemerlangan, walaupun gagal berkali-kali. Tetapi semangat untuk sentiasa mencuba sehingga ke akhirnya itu yang paling penting. Jadikan pengorbanan ibu dan ayah akar dan kayu yang menampung pokok; daun-daunnya adalah setiap titik usaha dan kejayaan kita.
Saya bukanlah seorang profesor, jauh lagi seorang yang terkenal seperti pakar-pakar motivasi terbilang yang kita kenali. Saya hanya seorang insan, hamba ALLAH, seorang sahabat, saudara dan seorang ‘teman’ yang ikhlas ingin membantu dan melihat kejayaan kita bersama pada masa hadapan. Saya berharap agar tiada antara kita berputus asa. Tidak kiralah dalam apa jua yang kita lakukan.
Kemerosotan prestasi atau kegagalan yang kita alami itu adalah ujian ALLAH. Pasti ada hikmah disebaliknya, itu seharusnya kita percayai. Umat Islam juga diingatkan tentang Rukun Iman keenam, Beriman Kepada Qada’ dan Qadar, yakni ketentuan ALLAH. Tujuan ALLAH menurunkan pelbagai jenis ujian kepada kita baik dalam keadaan bencana mahupun kesenangan, adalah bagi menguji ketabahan dan kesabaran kita. Itu juga tanda bahawa ALLAH menyayangi kita, hambanya yang kerdil. Setiap ujiannya pasti ada penyelesaiannya.
ALLAH berfirman:
“Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Loh Mahfuz) sebelum kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi ALLAH. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan terlalu berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepada kamu. Dan ALLAH tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (al-Hadid: 22-23)
ALLAH tidak akan menurunkan bencana atau ujian yang terlalu berat hingga tidak mampu dihadapi oleh hambanya. ALLAH menyayangi hambanya, oleh itu setiap ujian yang kita hadapi sebenarnya mampu kita tangani. Cuma kita sahaja yang tidak faham atau terlalu sukar untuk menerimanya.
SABAR. Itu kunci utama untuk kita menghadapi segala ujian ALLAH. Jangan terlalu cepat mengatakan kita tidak akan dapat menghadapinya, jangan terlalu cepat berputus asa. Kita seharusnya bersabar, dan memohon pertolongan ALLAH. Berimanlah dengan cara ini, insya-ALLAH, dengan azam, kesabaran dan semangat yang kita miliki, ALLAH akan membantu kita. Sesungguhnya ALLAH sentiasa mendengar doa hambanya.
ALLAH berfiman yang bermaksud:
“...Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, merela mengucapkan ‘Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Raji’un’ (sesungguhnya kita milik ALLAH, dan sesungguhnya kepada-Nya kita kembali. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dari Rab mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (al-Baqarah 155-157)
Janji yang termetrai dahulu masih teguh diingatan ini. Persahabatan dan keakraban lillahi taala yang pernah terjalin dahulu bermula dengan janji untuk saling membantu dalam mencapai cita-cita. Perjanjian untuk saling membantu agar kami bersama-sama berjaya mencapai masing-masing 10A1 untuk dirinya dan 12A1 untuk saya sendiri akan sentiasa kemas dibenak ini. Kasih sayang yang bersemi juga berlandaskan LILLAHI TAALA, dan kerana ingin saling membantu dalam akademik. Saya pernah berjanji untuk membantunya, dan saya seharusnya mengotakan janji yang telah saya lakukan. Biarlah luka semalam terkubur sementara buat masa sekarang supaya cukup ruang untuk saya mengotakan janji yang bersaksi yang saya patrikan, dalam masa yang sama, membantu diri saya sendiri untuk memahami apa yang saya pelajari.
Ruang yang dipintanya agar kami tidak membicarakan tentang hati dan perasaan dalam masa 3 bulan ini sehingga SPM berlalu, saya kotakan dengan menoktahkan seketika ukhuah dan kisah kami. Tiga bulan yang saya janji untuknya tanpa adanya diri saya untuk membebani kotak fikirannya, agar dia mampu menumpukan perhatian terhadap pelajaran telah saya tunaikan. Biarlah sakit manapun, demi kebaikan bersama, demi apa yang kami sama-sama perjuangankan dalam hidup ini, saya redha. Saya pasti ada hikmah untuk apa yang saya korbankan ini. Insya-ALLAH kecemerlangan yang kami buru akan dapat dikecapi, bersama. 3 bulan untuk saya simpan kemas memori dan segala janji.3 bulan...Tika ini juga saya hanya mampu berharap agar dia kotakan janjinya untuk merungkaikan segala tanda tanya dan rahsia serta keputusan untuk kami bersama-sama tentukan hala tuju nanti.
Namun sekali lagi, saya tidak akan pernah berputus asa. Insya-ALLAH, segalanya akan baik-baik sahaja. Insya-ALLAH. Saya pasti sesungguhnya ALLAH mendengar dan sentiasa bersama-sama hambanya ini.
ANDAINYA DIA MEMBACA BINGKISAN INI, APA YANG SAYA HARAPKAN HANYALAH AGAR DIA MEMANFAATKAN PENGORBANAN YANG SAYA LAKUKAN. TIDAK AKAN PERNAH MENGAMBIL KESEMPATAN ATAS NOKTAH SEMENTARA YANG SAYA BERIKAN UNTUK INSAN LAIN. SUMPAHNYA SAYA SIMPAN DAN SUMPAH ITU HANYA AKAN TERUNGKAI ANDAINYA DIA BERHADAPAN DAN MERUNGKAINYA DENGAN SAYA SENDIRI. SAYA TIDAK MAHU MEMBEBANKAN DIA UNTUK MEMENUHI AKALNYA DENGAN DIRI SAYA, TETAPI PENUHI DENGAN ILMU DAN PENGETAHUAN, CITA-CITANYA, IMPIAN IBU BAPANYA DAN KEBANGGAAN KELUARGANYA SERTA PERJUANGAN FISABILILLAH YANG LEBIH PENTING ADALAH MENCUKUPI BIARPUN SAYA MUNGKIN INSAN TERAKHIR YANG DISAYANGI.
KEBAHAGIAAN ADALAH APABILA MELIHAT INSAN YANG KITA SAYANGI DAN INSAN YANG KITA AMBIL BERAT BERJAYA DAN BAHAGIA WALAUPUN KITA HANYA MENDOAKANNYA DARI KEJAUHAN.
“AWAK, KALAU AWAK BACA BINGKISAN SAYA YANG TIDAK SEBERAPA INI, TOLONG KEKALKAN SATU PERKARA YANG AWAK JANJIKAN PADA SAYA DAHULU. TIDAK KIRA ANDAINYA AWAK KIRA SAYA SAHABAT ATAU HANYA SESEORANG YANG AWAK KENALI ATAUPUN MUNGKIN TIDAK PENTING. TAPI KOTAKAN JANJI AWAK UNTUK SENTIASA BERUSAHA, TAK KIRA BERAPA BANYAK KEGAGALAN YANG HARUS DITEMPUHI. KOTAKAN JANJI AWAK YANG AWAK TAKKAN PERNAH BERPUTUS ASA UNTUK CAPAI CITA-CITA DAN HARAPAN IBU DAN AYAH AWAK. TAKKAN BERPUTUS ASA UNTUK BERJUANG DI JALAN ALLAH WALAU APA PUN RINTANGANNYA, TAKKAN BERPUTUS ASA UNTUK MENJADI SEORANG MUSLIMIN DAN MUKMININ YANG BERJAYA DUNIA DAN AKHIRAT. JANJI YA...”